Sunday, 3 January 2016

Transtitiwangsa V3 2015


Hanya sebuah cerita rekaan amatur dan jujur...


Sebagai banjaran yang paling terkenal di Semenanjung Malaysia, Banjaran Titiwangsa tidak pernah sunyi dilawati para pendaki gunung di Malaysia. Setiap hujung minggu mahupun hari biasa, pasti ada para penggemar sukan lasak yang memasuki trek gunung di banjaran ini. Sebagai contoh, Trek Transtitiwangsa Versi 2 yang meliputi banyak gunung adalah pilihan utama pelancong luar serta pendaki gunung.

Tetapi, pada kali ini sekumpulan pendaki telah bertekad untuk melakukan kelainan dari segi tempoh masa ekspedisi, tahap kesusahan trek dan jarak perjalanan yang amat jauh serta belum pernah dilakukan oleh mana-mana pendaki sebelum ini. Trek ini telah dinamakan sebagai Transtitiwangsa Versi 3.

Sejak bertahun yang lalu, pelbagai pihak telah menggembeling tenaga untuk membuka dan menjayakan trek lagenda ini. Walaupun tanpa dana yang mencukupi serta kekangan masa yang dihadapi, mereka sanggup berusaha untuk menjayakan misi mega ini untuk kebaikan bersama dan masa depan rekreasi gunung di Malaysia. Berbelas program rintisan trek untuk menyambung trek dari Gunung Chamah ke Gunung Yong Belar akhirnya sempurna. Kini mereka hanya perlu terjun ke kancah cabaran yang sebenar, Ekspedisi Transtitiwangsa Versi 3!

Bermula dari Gua Musang, sarat dengan bebanan bagasi, mereka dihantar menggunakan dua puluh pacuan empat roda. Perjalanan ke kaki Banjaran Titiwangsa yang penuh dengan liku ini memakan masa selama lapan jam. Secara ringkasnya, mereka akan mula mendaki dari utara, mendaki Gunung Chamah, kemudiannya Gunung Ulu Sepat, dikuti dengan Gunung Gerah, Gunung Bilah, Puncak 1827, Gunung Kuar, dan sebagainya. Tempoh pendakian dijangka mengambil masa selama 18 hari bermula pada 25 Julai hingga 11 Ogos 2015.


Track Log Mengikut Hari
1. Kuala Betis - Kampung Rekom
2. Kampung Rekom - Last Waterpoint G.Chamah
3. Last Waterpoint - G.Chamah - Kg Rekom
4. Kg Rekom - Kem Sg Retak (Meggi)
5. Sg Retak – Puncak View – Kem Sg Leper
6. Kem Sg. Leper – Gunung Ulu Sepat - Kem Sg. Lenweng
7. Kem Sg. Lenweng – Kem Agek – Kem Kunyit
8. Kem Kunyit – G. Gerah
9. G. Gerah – Kem HU HU HU
10. Kem HU HU HU – Kem Rata Air
11. Kem Rata Air – Puncak Surian – Kem Lotong
12. Kem Lotong – Kem Cannon (Meriam)
13. Kem Cannon – G. Kuar
14. G. Kuar – Kem Sg. Pelus
15. Kem Sg Pelus – Puncak Antenna – G. Aler
16. G. Aler – Kem Potong
17. Kem Potong – G. Yong Yap – Kg Kuala Rengil
18. Kg Kuala Rengil - Berinchang TAMAT

Coretan Pendaki:-
           

Permulaan Yang Menyakitkan

            Kira-kira beberapa minit sahaja selepas tiba di tempat permulaan pendakian, kami disimbah dengan ujian hujan semasa kami sedang membahagikan barang-barang serta bekalan makanan untuk 18 hari. Segera salah seorang ahli ekspedisi mencapai dan memasang fly (bumbung kanvas) untuk mengelakkan makanan kami dibasahi hujan. Tugas membahagikan ration (bekalan makanan) dilakukan dengan teratur walaupun diganggu hujan yang tidak diundang. Kira-kira satu jam selepas itu, pendakian dimulakan dengan doa. Jam menunjukkan pukul 8 malam, langit masih lagi hujan, namun itu semua tidak mematahkan semangat kami.

Kami melalui trek balak lama yang tidak digunakan lagi. Permukaan jalan amat licin dan menduga kesabaran. Namun, itu semua sudah biasa bagi kami. Apa yang menjengkelkan kami adalah berat bebanan untuk 18 hari yang dipikul. Berkat kesabaran, malam itu kami tiba juga di Pos Sg. Rekom, sebuah perkampungan orang asli di negeri Kelantan.


31 Jam Tanpa Makanan

            Seperti yang dirancang, kami akan mula menaiki Gunung Chamah secara daypack untuk hari itu. Semua bagasi dan kebanyakan peralatan dan makanan akan ditinggalkan di Pos Sg. Rekom. Kami hanya membawa bekalan cukup untuk satu hari sahaja, bukan untuk bermalam di mana-mana kem ketika menuju ke Gunung Chamah.

            Petang itu, ketika dalam perjalanan menuju ke Puncak Gunung Chamah, kami telah diserang dengan penyengat berbisa. Ada yang disengat dua, dan ada juga yang disengat lebih lima belas! Jika difikirkan, penyengat bukanlah sesuatu yang sangat merbahaya. Sakit sedikit sahaja. Namun begitu, sekecil-kecil faktor inilah yang merubah nasib kami pada malam itu.

            Pukul 7.50 malam, kami masih lagi melangkah menuju puncak. Sangat banyak faktor yang menyebabkan kami terlewat pada hari itu. Antaranya adalah trek yang hilang yang mana memaksa kami untuk merintis jalan baru. Pada ketika itu juga, seorang ahli terpenting misi ini telah tidak dapat lagi menampung alahan akibat disengat penyengat. Terberhenti di last water point, merehatkan badan. Hari sudah amat malam untuk teruskan pendakian. Ada atau tiada kelengkapan tidur, kami terpaksa juga bermalam di kawasan yang sejuk dan berangin itu lantaran daripada ketidakstabilan keadaan salah seorang pendaki.

            Bagaikan jatuh ditimpa tangga, angin bertiup, bacaan barometer tiba-tiba meningkat, dan hujan pun turun selebat-lebatnya turun seperti menghalau kami dari situ. Mujur kami membawa 2 fly untuk dipasang di situ. Namun atas sebab ketidak sesuaian tapak dan faktor cuaca, kami terpaksa berpecah kepada dua kumpulan. Salah satu kumpulan turun kira-kira 10 minit ke bawah untuk mencari tempat berlindung. Malam itu kami bertenang dalam kekurangan, tempias hujan, baju yang basah, angin yang meniup dan perut yang lapar sehingga matahari muncul keesokan harinya.

            Pada ketika itu, kalau ada secawan air panas, air itu kami kongsi bersepuluh. Kalau ada seketul coklat, coklat itu kami berkongsi 17 orang. Segalanya terhad!

            Keesokan harinya, kami bangun ceria menyambut matahari yang muncul memberi tanaga. Masing-masing kelesuan lantaran tidak tidur dan sebagainya. Air Teh sarsi menjadi santapan pemanas badan pada pagi itu. Tiada apa-apa makanan, tiada apa-apa untuk ditelan. Namu begitu, kami masih bersemangat untuk menyambung pendakian ke Puncak Gunung Chamah.

            Kira-kira jam 11.30 pagi kami tiba di Puncak Gunung Chamah setelah sehari lebih berhempas pulas. Sebagai ganjaran, dapat kami merasa dua paket mee segera untuk dikongsikan seramai 17 orang. Kesabaran dan setiakawan amatlah penting pada saat-saat sebegini. Setelah kira-kira satu jam berjemur di puncak, kami mula menuruni gunung itu. Hari itu, hujan menduga ketabahan kami lagi.

            Kami tiba kembali di Pos Rekom kira-kira jam 7.30 malam. Pada kira-kira pukul 9.00 barulah kami secara rasminya mengisi perut kami yang sudah lama kekosongan. Syukur.


Kerahan di Gunung Gerah

            Dalam banyak-banyak gunung yang kami lewati, puncak Gunung Gerah adalah suatu puncak yang boleh dikatakan paling sukar untuk kami tawan. Masih ada lagi 12 hari untuk sebelum kami tamat ekspedisi ini. Ini bermakna, bebanan yang kami pikul masih lagi berat. Dengan tubuh yang sudah dikerah keras selama 6 hari, hanya kecekalan mental sahaja yang mampu menolak kami untuk terus mara pada hari itu.

            Daripada awal lagi, Poncho telah menegaskan kepada semua pendaki bahawa halangan paling utama bagi ekspedisi mereka adalah gunung tersebut. Berketinggian 2103 meter, gunung ini melayani kunjungan kami dengan amat kasar sekali.

            Kumpulan pertama tiba di simpang Gerah (10 minit dari puncak Gunung Gerah) kira-kira jam 7.00 petang. Mereka berlindung daripada keganasan angin di bawah pokok berlumut sementara menunggu kumpulan kedua tiba. Pada pukul 9.00 malam, hujan lebat tiba-tiba turun di Gunung tersebut. Pada ketika itu, kumpulan kedua masih belum lagi tiba di simpang Gerah, di mana sepatutnya mereka berkumpul. Secara tergesa-gesa, mereka terus memasang fly untuk berlindung daripada hujan. Mereka terpaksa berhenti setakat itu pada malam itu atas faktor cuaca. Atas sebab ketiadaan bekalan air, kami menadah air hujan untuk kami membasahkan tekak pada malam itu. Pada ketika itu, kami sekali lagi menahan lapar dalam kesejukan hingga keesokan harinya.


Ribut di Permatang

            Tidak cukup dengan kepelbagaian dugaan yang kami hadapi, pada petang hari ke 15 kami diajar tentang keganasan sebenar cuaca di Banjaran Titiwangsa. Jam menunjukkan pukul 5.30 petang, angin bertiup kencang di sepanjang permatang yang kami lalui. Bacaan barometer telahpun meningkat dengan serius, bermakna hujan akan turun tidak lama lagi. Tetapi, demi memastikan kami terus mengikut jadual yang dirancang, kami gagahi juga perjalanan pada ketika itu. Dengan angin yang kuat, kami hanya mampu berdoa.

            Seperti yang dijangka, hujan turun dengan lebatnya beserta dengan angin yang kencang. Tak sampai seminit, suasana ceria pada ketika itu terus berubah kepada kemurungan. Masing-masing dalam keadaan kesejukan dan menggeletar. Kelajuan pendakian juga secara langsung meningkat. Tiada lagi berhenti rehat, tiada lagi berbual sesama kami. Kami terus berjalan untuk mengekalkan haba tubuh kami di sepanjang hutan berlumut itu. Jika terberhenti di mana-mana akibat laluan sukar, kesejukannya terus menusuk ke tulang. Persekitaran tidak sesuai untuk kami berlindung di situ. Laluan itu kami namakan lubang tikus, kerana kami terpaksa merangkak, memanjat, dan berpusing-pusing untuk melaluinya. Pokok-pokok terlalu renek untuk berlindung. Gaung pula dikiri dan kanan kami. Hanya terus mara pilihan yang kami ada.

Hari hampir gelap, tetapi ribut masih lagi belum reda. “Terus jalan! Jangan blocking!”, kata Ujang yang dalam ketakutan. Dalam hatinya, dia tidak tahu berapa lama lagi tubuhya mampu menahan dalam cuaca ekstrem itu. Lagi cepat tiba di Puncak 1688 lagi baik. Kerana di situ lah kami boleh berkumpul dan berlindung darpada semua ini.

Tiba di Puncak 1688, kami bingkas berselubung dan berkumpul di bawah fly. Keluasan puncak itu amat terhad untuk kami memasang khemah di situ. Kami hanya berkumpul rapat, memakai baju hujan, emergency blanket, plastic hitam, dan apa-apa yang ada untuk menghadapi survival itu. Masing-masing pada ketika itu boleh dikatakan dalam keadaan yang trauma terhadap hujan. Maklumlah, sudah berulang kali mereka mengalami ujian hujan yang dasyat. Sementara menunggu kumpulan kedua, Moi, Sai, dan Man. Kami berempat belas duduk berselubung berkongsi haba sambil berbincang tentang tindakan seterusnya. Ribut masih lagi menguji.

Setelah kira-kira 2 jam menunggu kumpulan kedua, kami akhirnya bertekad untuk meneruskan perjalan ke Puncak Gunung Aler tanpa kumpulan kedua. Kami berpendapat bahawa mereka telah berhenti dan berlindung di mana-mana di permatang itu. Strategi dan susunan tindakan kami rancang. Kami berpakat untuk berkhemah di Puncak Gunung Aler. Di situ terdapat kawasan lapang dan bolehlah kami bermalam di situ.

Jam hampir mununjukkan pukul 9.30 malam. “Ok. Lima minit lagi. Kumpul tenaga dan kekuatan masing-masing!”, kata Poncho. Sesungguhnya ia adalah antara ayat yang paling menggerunkan disepanjang trip ini. Cuba bayangkan, jika fly tempat kami berselubung itu terbuka sedikit sahaja bahagian bawahnya, angin terus menderu masuk mencucuk liang roma kami. Ini kan pula bangun dan terus pikul beg, berlari ke Puncak Gunung Aler! Namun kami gagahi juga detik-detik itu. Kita perlu tinggalkan keselesaan sementara ni untuk mendapat keselesaan yang lebih baik.

10.. 9.. 8.. 7.. 6.. 5.. 4.. 3... 2.. 1..! Fly pun dibuka! Maka kucar-kacirlah mereka mencari lampu suluh kepala dan beg masing-masing. Dengan pakaian yang basah, angin yang bertiup, ujian kesejukan ini menjadi amat mencabar. Dalam kesejukan, kami memikul bagasi mereka dan berlari ke Puncak Gunung Aler. Ada yang tidak berbaju, ada yang tidak mengikat tali bagasi mereka secara sempurnya.

Kira kira 15 minit kemudian, mereka tiba di Puncak Gunung Aler. Tiba sahaja di puncak tersebut, kami terus pantas memasang khemah di situ. Dalam keadaan terdesak, kami siap memasang khemah dalam masa tak lebih 2 minit. Malam itu, kumpulan pertama bermalam di situ dalam keadaan trauma dan tidak putus-putus berdoa.

Lain pula yang berlaku kepada kumpulan kedua. Moi, Sai, dan Man bersabung nyawa menghadapi ribut tersebut. Akibat penurunan berat badan yang mendadak, Sai tidak dapat menadah kesejukan yang dia hadapi pada lewat petang itu. “Aku rasa sejuk sampai tahap halusinasi pergi ke kedai beli barang,” kata sai ketika menceritakan kembali saat beliau diserang hypothermia. Mereka berhenti pada kira-kira 15 minit selepas hujan ribut turun. Ini adalah atas sebab jarak perjalanan yang masih jauh untuk sebelum mereka tiba di Puncak 1688. Mereka terus berselubung dan berlindung di sebalik fly. Rawatan dilakukan ketika itu juga, malam itu mereka tidak putus berdoa agar ribut kembali reda.

Keesokan harinya, barulah kami benar-benar berjaya berkumpul semula. Hari itu kami seolah-olah tiada tenaga. Ribut yang memukul kami semalam benar-benar menyedut tenaga kami sehabis yang mungkin. Lesu sehinggakan kami mula meneruskan perjalanan pada pukul 3 petang. Amat kurang perbualan yang boleh meletupkan ketawa… Masing-masing terngiang-ngiang tiap saat yang hampir menghaibkan semangat mereka.


Sengatan Tebuan

Dalam kegirangan dan ketidaksabaran kami untuk keluar dari hutan, pada hari ke17, sekali lagi kami dilanggar dengan satu musibah. “Lari! Lari! Lari!”, teriak Ika sejurus terkena tiga sengatan. Maka bertempiaranlah kami lari tidak cukup tanah.  Pada ketika itu, kami sudah tidak fikirkan apa jenis haiwan yang menyerang kami. Tetapi yang penting, ianya lebih padu bisanya daripada serangan penyengat yang kami hadapi 15 hari sebelumnya.

Nasib buruk menimpa salah seorang pendaki. Terjatuh kacamata, terkena paling kurang 15 das sengatan sehingga tidak sedarkan diri. Merangkak lari demi survival hidup. Mujur Petai dan Ayul berpatah balik kebelakang membantu dan memapah dia keluar dari kawasan bahaya itu.

Menggigil, menangis, kaku, dan menjerit mangsa itu. Sehinggakan, hendak merakam detik-detik cemas itu pun kami tak sanggup atas dasar menghormati situasi.

Rawatan dijalankan segera pada ketika itu juga. Alhamdulillah, setelah sedikit reda, kami meneruskan lagi perjalanan kami untuk keluar dari hutan setelah 17 hari kami tidak bertemu manusia lain selain daripada kami


Selamat Keluar

Semua peserta ekspedisi telah pun selamat keluar melalui Kg. Rengil, Pos Brooke pada jam 1.30 pagi, 11 Ogos 2015. Kami disambut dengan 17 pacuan empat roda serta disajikan dengan juadah hari raya setibanya kami di Kg. Kuala. Rengil. Yus, Petai, Ted, Man, Que, Poncho, Moi, Ujang, Nazrin, Sinah, Ika, Put, Pah, Sai, Wana, Ayul dan Azmel kini selamat. Tiada apa-apa kecederaan serius dihadapi oleh kami. Hanya beribu parut terukir di tubuh, dan sejuta kenangan untuk dikongsikan. Walaupun ekspedisi kami kali ini gagal mencapai target yang asal iaitu Gunung Yong Belar, namun begitu bagi kami ianya amat-amat memberi pengajaran untuk kami mencuba lagi di masa yang akan datang. V3, Mu Tunggu Kami Datang.!

4 comments:

  1. Tahniah kerana cuba..saya nak ikut bila percubaan seterusnya dirangka oleh pihak tuan..

    ReplyDelete
  2. Tahniah kerana cuba..saya nak ikut bila percubaan seterusnya dirangka oleh pihak tuan..

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. pernah ikut poncho naik gunung batu putih

      Delete